Friday, September 13, 2013

Bedung anak


Ulasan kali ini adalah mengenai tips membedung anak. Rupa-rupanya membedung anak ni banyak kebaikannya, dari yang tersurat mahupun yang tersirat.

Seri

Yang jelasnya, kata orang tua-tua, kalau membedung bayi yang baru lahir, dia akan lebih rasa selesa dan lebih lena tidur. Ini adalah kerana ketika berada di dalam kandungan, pergerakan bayi adalah sangat terbatas, dan suasana di dalam rahim ibu adalah gelap, sunyi dan seakan-akan memeluk bayi. Oleh itu, apabila bayi dibedung sejurus lahir, bayi akan seolah-olah merasakan situasi yang sama seperti di dalam rahim ibu, dan ini akan menenangkan bayi tersebut.


Seri
Selain daripada itu, dipercayai bahawa bayi yang dibedung dengan kakinya diluruskan, akan dapat mengelakkan anak tersebut daripada kengkang apabila dewasa kelak.

Lela

Tetapi malangnya, agak terlambat Mummy mendapat tips ini. Dah tiga orang anak barulah berjumpa tips ini. Hehehe... Orked dahulu rasanya beberapa hari sahaja dapat dibedung. Seri pula hampir seminggu. Paling lama sekali Lela, itupun tak sampai dua minggu. Kalau nak disenaraikan alasan mengapa mereka tak dibedung, memang banyak. Tapi menyedari kebaikan berbedung ini, mungkin kalau ada rezeki seterusnya, bolehlah dipanjangkan tempohnya.

Lela
Walaubagaimanapun, masih tidak terlambat lagi untuk membedung Orked, Seri dan Lela secara tersirat. Membedung anak apabila anak semakin membesar, adalah dengan mengawal dan mengongkong segala pergerakannya. Seperti kita mengehadkan pergerakan kaki dan tangan bayi ketika baru lahir, ia diteruskan dengan mengehadkan pergerakan anak kita yang semakin membesar dengan peraturan.

Lela
Anak yang tidak diperkenalkan dengan peraturan sejak awal lagi akan memberontak apabila peraturan baru cuba diperkenalkan kepada mereka apabila mereka telah besar. Oleh itu penting bagi ibu bapa untuk memperkenalkan peraturan kepada anak dari kecil lagi. Misalnya di peringkat awal, semasa bayi lagi, kita boleh mula melarang mereka daripada melakukan perkara yang tidak diingini seperti merampas barang, membaling barang, memasukkan benda kotor ke dalam mulut, berkasar dan sebagainya. Kemudian diteruskan pula dengan konsep meminta izin, iaitu mesti mendapatkan keizinan dari ibu atau bapa sebelum melakukan sesuatu.

Lela
Sesuai mengikut perkembangan umur anak, peraturan demi peraturan perlu diperkenalkan dan dilaksanakan terhadap mereka. Jangan tunggu sampai mereka besar baru nak cuba hidup berperaturan, kerana pasti mereka akan melawan kerana sudah biasa hidup bebas. Sama juga seperti bayi, jika tidak pernah dibedung, apabila cuba dibedung pada seusia seminggu, pasti akan dilawannya. Jangan sesekali gunakan alasan "mereka masih kecil" dalam hidup berperaturan.

Lela dan Kakak Seri
Itulah konsep berbedung yang seharusnya kita betul-betul amalkan, iaitu kawal pergerakan anak. Apabila cukup usianya, barulah boleh dilepaskan sedikit demi sedikit bedungan mereka. Pada masa itu, peraturan yang kita kenalkan kepada mereka telah pun sebati dalam diri mereka, dan mereka akan terus berpegang kepadanya walaupun telah bebas.

Lela
Itulah yang kami amalkan sekarang. Walaupun terlambat dalam membedung secara fizikal, namun masih tidak terlambat untuk membedung mereka secara kongkongan. Setiap yang mereka lakukan, mestilah dengan izin. Setiap yang mereka lakukan juga, adalah di bawah pemerhatian penjaga. Semoga Orked, Seri dan Lela akan kuat pegangannya bila sampai usianya dibebaskan dari bedungan.

Rujukan: Tid bit Parenting 13: Bedung budaya yang semakin dilupakan, asas hudud bagi bayi

Tambahan dari entry yang 'serius' di atas, Mummy letakkan beberapa gambar Lela terutamanya, yang belum pernah diletakkan di blog. Almaklumlah, lama bercuti dari update blog. Jadi, banyak jugalah gambar anak-anak yang ingin sangat dikongsi tapi belum berpeluang. Gambar di bawah ini adalah sekitar bulan Januari 2013, ketika Lela berumur 6 bulan.

12 Januari 2013, makanan pejal pertama Lela
6 bulan baru boleh menjalar saja
Orked dan Seri, teman ketawa dan teman bergaduh
4.5 tahun, Orked dah mula pakai tudung bila keluar rumah
Lela yang menggeramkan

Lela bam bam
Dalam kereta on the way balik rumah

Seri, 2.5 tahun

 xoxo
Mummy


1 comment:

Anonymous said...

penggunaan car seat utk bayi di tempat duduk hadapan adalah salah dan berbahaya utk bayi tersebut. ramai orang kurang peka masalah ini. yg terbaik adalah tempatkn baby car seat di tempat duduk belakang sahaja.