Monday, March 27, 2017

Adik baru Orked

Dah lama sangat Mummy tak update blog kan? Orked dah ada tambahan 2 orang adik dah. Seorang Wafa, dah 2 setengah tahun umurnya,  dan yang kedua Arman, 20 hari umurnya.

Ini Wafa...


Dan ini pula Arman...


Arman lahir pada 8.3.2017 yang lalu. Tapi sehingga kini Arman masih berada di dalam NICU kerana Arman dilahirkan dengan Down Syndrome, dan sukar bernafas kerana jangkitan kuman di paru-paru serta ada masalah jantung berlubang. Doakan agar Arman segera sembuh ya?

Mummy

Thursday, September 26, 2013

Seri hafaz Surah An Nas




Mummy dah mulakan semula sesi hafazan dengan anak-anak. Sebelum ini, semasa Orked berumur tiga tahun empat bulan, Orked telah pun berjaya menghafaz beberapa surah pendek seperti surah Al Fatihah, An Nas, Al Falak dan Al Ikhlas. Walaubagaimanapuuunnnn..... Hmmm... Tahi ayam pun lagi hangat dari Mummy kot. Ehehehhehe.... Sampai di situ sahajalah ceritanya.

Jadi, sekarang ni Mummy nak mulakan semula sesi hafazan. Untuk Orked, kena mula dengan refresh balik apa yang telah dihafaz. Nasib baiklah Orked tak lupakan terus, cuma perlu ulang sedikit sahaja. Ada juga penambahan surah-surah baru. Setakat ini telah ditambah dengan surah Al Lahab, Al Kauthar, Al Asr dan An Nasr.

Bagi Seri pula, ini adalah surah pertama yang Seri hafaz, surah Al Ikhlas. Ayatnya pendek dan mudah, sebab itu Mummy pilih yang ini. Seri juga sudah hafaz surah Al Kauthar. Cuma masalahnya ialah pelat Seri ni terlalu pelat. Orked di umur yang serupa dah tak pelat sangat tapi Seri lain pula keadaannya. Adushh... Pening Mummy.... Namun yang pentingnya ialah Seri ada minat dan usaha untuk menghafaz. Sebutan boleh diperbaiki dari masa ke semasa. Alhamdulillah...

xoxo
Mummy

Friday, September 13, 2013

Bedung anak


Ulasan kali ini adalah mengenai tips membedung anak. Rupa-rupanya membedung anak ni banyak kebaikannya, dari yang tersurat mahupun yang tersirat.

Seri

Yang jelasnya, kata orang tua-tua, kalau membedung bayi yang baru lahir, dia akan lebih rasa selesa dan lebih lena tidur. Ini adalah kerana ketika berada di dalam kandungan, pergerakan bayi adalah sangat terbatas, dan suasana di dalam rahim ibu adalah gelap, sunyi dan seakan-akan memeluk bayi. Oleh itu, apabila bayi dibedung sejurus lahir, bayi akan seolah-olah merasakan situasi yang sama seperti di dalam rahim ibu, dan ini akan menenangkan bayi tersebut.


Seri
Selain daripada itu, dipercayai bahawa bayi yang dibedung dengan kakinya diluruskan, akan dapat mengelakkan anak tersebut daripada kengkang apabila dewasa kelak.

Lela

Tetapi malangnya, agak terlambat Mummy mendapat tips ini. Dah tiga orang anak barulah berjumpa tips ini. Hehehe... Orked dahulu rasanya beberapa hari sahaja dapat dibedung. Seri pula hampir seminggu. Paling lama sekali Lela, itupun tak sampai dua minggu. Kalau nak disenaraikan alasan mengapa mereka tak dibedung, memang banyak. Tapi menyedari kebaikan berbedung ini, mungkin kalau ada rezeki seterusnya, bolehlah dipanjangkan tempohnya.

Lela
Walaubagaimanapun, masih tidak terlambat lagi untuk membedung Orked, Seri dan Lela secara tersirat. Membedung anak apabila anak semakin membesar, adalah dengan mengawal dan mengongkong segala pergerakannya. Seperti kita mengehadkan pergerakan kaki dan tangan bayi ketika baru lahir, ia diteruskan dengan mengehadkan pergerakan anak kita yang semakin membesar dengan peraturan.

Lela
Anak yang tidak diperkenalkan dengan peraturan sejak awal lagi akan memberontak apabila peraturan baru cuba diperkenalkan kepada mereka apabila mereka telah besar. Oleh itu penting bagi ibu bapa untuk memperkenalkan peraturan kepada anak dari kecil lagi. Misalnya di peringkat awal, semasa bayi lagi, kita boleh mula melarang mereka daripada melakukan perkara yang tidak diingini seperti merampas barang, membaling barang, memasukkan benda kotor ke dalam mulut, berkasar dan sebagainya. Kemudian diteruskan pula dengan konsep meminta izin, iaitu mesti mendapatkan keizinan dari ibu atau bapa sebelum melakukan sesuatu.

Lela
Sesuai mengikut perkembangan umur anak, peraturan demi peraturan perlu diperkenalkan dan dilaksanakan terhadap mereka. Jangan tunggu sampai mereka besar baru nak cuba hidup berperaturan, kerana pasti mereka akan melawan kerana sudah biasa hidup bebas. Sama juga seperti bayi, jika tidak pernah dibedung, apabila cuba dibedung pada seusia seminggu, pasti akan dilawannya. Jangan sesekali gunakan alasan "mereka masih kecil" dalam hidup berperaturan.

Lela dan Kakak Seri
Itulah konsep berbedung yang seharusnya kita betul-betul amalkan, iaitu kawal pergerakan anak. Apabila cukup usianya, barulah boleh dilepaskan sedikit demi sedikit bedungan mereka. Pada masa itu, peraturan yang kita kenalkan kepada mereka telah pun sebati dalam diri mereka, dan mereka akan terus berpegang kepadanya walaupun telah bebas.

Lela
Itulah yang kami amalkan sekarang. Walaupun terlambat dalam membedung secara fizikal, namun masih tidak terlambat untuk membedung mereka secara kongkongan. Setiap yang mereka lakukan, mestilah dengan izin. Setiap yang mereka lakukan juga, adalah di bawah pemerhatian penjaga. Semoga Orked, Seri dan Lela akan kuat pegangannya bila sampai usianya dibebaskan dari bedungan.

Rujukan: Tid bit Parenting 13: Bedung budaya yang semakin dilupakan, asas hudud bagi bayi

Tambahan dari entry yang 'serius' di atas, Mummy letakkan beberapa gambar Lela terutamanya, yang belum pernah diletakkan di blog. Almaklumlah, lama bercuti dari update blog. Jadi, banyak jugalah gambar anak-anak yang ingin sangat dikongsi tapi belum berpeluang. Gambar di bawah ini adalah sekitar bulan Januari 2013, ketika Lela berumur 6 bulan.

12 Januari 2013, makanan pejal pertama Lela
6 bulan baru boleh menjalar saja
Orked dan Seri, teman ketawa dan teman bergaduh
4.5 tahun, Orked dah mula pakai tudung bila keluar rumah
Lela yang menggeramkan

Lela bam bam
Dalam kereta on the way balik rumah

Seri, 2.5 tahun

 xoxo
Mummy


Wednesday, September 11, 2013

Timang tinggi-tinggi


Orked, Seri dan Lela memang biasa ditimang. Biasanya oleh Daddylah. Mummy takut-takut sikit. Masa Mummy timang pun, rendah je. Itupun mereka tarik tudung Mummy. Kalau Daddy timang, barulah tinggi.
 

Timang anak ni ada kebaikannya. Salah satu daripadanya ialah mengurangkan rasa takut mereka terhadap ketinggian.


Selain daripada itu, ia juga dapat mencerdaskan minda. Semasa ditimang, ada adrenaline rush. Darah mengalir dengan laju, sekaligus menyebabkan otak dan badan jadi aktif.


Walaubagaimanapun, langkah berjaga-jaga mestilah diambil. Jangan pula timang anak di tempat yang merbahaya, takut nanti tersangkut di bumbung! Siapa yang susah? Hehehe...


Juga orang yang menimangnya juga mestilah mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi, serta berkemampuan menangkap anak yang ditimang itu. Jangan pula ada yang terjatuh, lain pula jadinya nanti.


Anak pasti seronok apabila ditimang kalau kena gayanya. Cubalah.

xoxo

Mummy


p/s: Seri jangan merajuk ye, Mummy tak jumpa gambar Seri kena timang... Ada, kami ada timang Seri. Gambarnya aje yang tak ada :)

Sumber gembira anak adalah kasih sayang



Di facebook Warga Prihatin, banyak dikongsikan parenting tips bagi ibubapa dalam mendidik anak. Sebenarnya banyak parenting tips yg diberi di situ, memang diamalkan oleh Daddy dan Mummy terhadap Orked, Seri dan Lela. Hari ini Mummy nak ulas sedikit parenting tips no. 2 iaitu sumber gembira anak adalah kasih sayang, dan bukan wang ringgit.

Kami mengambil pendekatan bahawa kasih sayanglah yg membuatkan anak gembira, dan bukannya wang ringgit. Tidak ada gunanya mempunyai wang yang banyak sekiranya ibu dan ayah siang malam bekerja mencari duit, tetapi tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama anak-anaknya. Akibatnya anak-anak akan berpeleseran dan mencari orang lain (rakan sebaya) sebagai peneman, tempat mengadu dan tempat merujuk. 

Bagi Mummy dan Daddy, buat masa ini kami berdua masih bekerja, dan tidak dapat meluangkan masa sepenuhnya untuk Orked, Seri dan Lela. Walaubagaimanapun, kami telah menitipkan Orked, Seri dan Lela ke Rumah Pengasih Warga Prihatin, yang bertindak sebagai ibu angkat kepada mereka. Walaupun rumah ini masih lagi di dalam fasa pembinaan, namun kami yakin dengan kasih sayang yang ada di rumah ini dapat membantu membentuk akhlak dan akademik Orked dan adik-adik. Berbanding dengan tempat-tempat lain yang mungkin lebih mewah, lebih canggih dan lebih ternama, istimewanya rumah ini ialah ibu-ibu dan bapa-bapa menjaga semua anak-anak di situ dengan penuh kasih sayang seperti anak mereka sendiri. Tidak ada beza antara anak yatim, anak asnaf dan anak jagaan. Semuanya dilayan sama rata. 

Namun jangan disalah anggap dengan ungkapan kasih dan sayang, kerana ia tidaklah bermaksud menurut sahaja segala kemahuan anak. Bukan itu yang akan membuatkan mereka gembira. Mungkin hanya untuk seketika, teapi bukan untuk mereka di masa hadapan. Kasih dan sayang bermaksud membekalkan mereka dengan ilmu yang cukup, akhlak yang mulia dan pegangan hidup yang kuat. Kalau salah, tetap akan ditegur, dan kalau buruk, tetap akan diperbaiki. 

Harapan kami agar Orked, Seri dan Lela membesar dalam lingkungan kasih dan sayang dan menjadi seorang yang pengasih dan penyayang.


Di sini dikongsikan beberapa keping gambar persiapan Aidilfitri dan potret keluarga Aidilfitri kami sebagai selingan. 



Link ke artikel asal: Tips Parenting Prihatin 2: Sumber Gembira Anak Adalah Kasih Sayang, Bukan Wang Ringgit.



Budak-budak yang seronok tolong isi beras dalam ketupat nasi

Lemang pun ada

Ketupat nasi Orked

Seri main aje, Mummy tak bagi isi beras dalam ketupat

Lela di rumah Atuk Nang

Orked, Seri dan Lela dengan kawan-kawan semasa takbir raya

Orked dan Nia, rakan se-home schooling

Budak yang selalu kata, "Mummy choooo....oooooo....oooooo....mmeeelll sangat" sampai tak cukup nafas, hehhehe

Baju raya tahun ini

xoxo
by Mummy


Thursday, August 22, 2013

Bersalam dengan yang lebih tua


Pada 21 Julai 2013 yang lepas, arwah moyang Orked yang terakhir, arwah moyang Sipon, telah kembali ke rahmatullah kerana sakit tua. Sebelum itu, arwah telah ditahan di hospital Muar hampir tiga minggu kerana masalah pernafasan disebabkan jerebu yang melanda negara. Selepas tiga minggu, arwah moyang minta dibenarkan balik ke rumah. Selepas 11 hari di rumah, arwah akhirnya menghembuskan nafas beliau yang terakhir. Al Fatihah.

Moyang Sipon ini adalah moyang Orked yang terakhir. Sekarang ni Orked dah tak ada moyang lagi, cuma ada seorang lagi moyang tiri je di Kampung Panchor, Muar.

Yang  nak dikongsikan di sini ialah video yang Nenek ambil sebelum berangkat pulang ke rumah, setelah selesai majlis pengebumian. Ini ialah rumah arwah moyang Sipon, dan ada ramai nenek dan atuk Orked di sini. Sebenarnya Mummy terkejut bila tengok Orked dan Seri dah pandai bersalam dengan cara orang Jawa bersalam, iaitu salam sambil melutut. Kalau dengar, dalam video tu Daddy ada ingatkan Orked dan Seri supaya melutut dan tunduk. Nasib baik Daddy ada ingatkan, sebab Mummy pun terlupa. Hehehe....

Sebenarnya konsep salam secara melutut ini ialah salah satu adat orang Jawa, bagaimana nak menghormati yang lebih tua. Kalau orang tua tu duduk, tidak wajar kita bersalam dari kedudukan berdiri atau tunduk sahaja. Kita kena melutut, supaya kedudukan kita lebih rendah daripada orang yang nak disalami itu.

Awal bulan puasa, Orked, Seri dan kawan-kawan kami di Prihatin semuanya telah diajar dan dilatih kaedah bersalaman baru ni. Kalau sebelum ini, kami sentiasa diingatkan supaya cium tangan orang tua semasa bersalam tanpa menarik tangannya ke arah kita. Tapi tahun ni ada penambahan baru, kaedah melutut ini lah. Ia sesuai diamalkan kalau yang nak disalam itu sedang berada dalam keadaan duduk. Masa mula-mula belajar tu memang kelakarlah. Rugi Mummy tak ambil video atau gambar. Ada yang merangkak, ada yang tergolek-golek. Hahaha... Sebab tak biasa jalan sambil melutut. Orked la tu yang sampai merangkak. Ehehehhehehe... Nasib baiklah dalam video ni tak ada yang Orked merangkak. Kalau tak, maluuuuu aje....

Cuma... Orked dengan Seri tak tunduk bila jalan depan orang dewasa. Nak kena perkemaskan lagi tu...

xoxo
Mummy Orked


Wednesday, August 21, 2013

Duit hari raya Seri


Kalau kakak Orked dah serahkan duit hari rayanya kepada Mak Sofiah, untuk pembedahan dan rawatan lututnya, Seri juga sebenarnya telah melakukan perkara yang sama. Seri ambil uswah dari kakaknya Orked dan ingin jadi pemurah seperti kakaknya Orked. Apa tidaknya, kakak Orked kan idola Seri. Apa yang kakak Orked buat semuanya akan Seri buat juga. Kadang-kadang boleh jadi bergaduh juga, sebab apa yang kakak Orked nak, itu yang Seri nak! Tapi dalam hal-hal yang baik begini, syukurlah Seri dapat ikut jejak langkah kakaknya, yang menyerahkan kesemua duit hari rayanya untuk membantu orang susah.

Gambar di atas ialah semasa Seri selesai akad menyerahkan duit hari rayanya. Akad diterima oleh wakil RPWP iaitu Mak  Long. Kalau nampak, tulisan di atas sampul duit raya di atas meja itu ialah tulisan kakak Orked. Kakak tolong buatkan sampul untuk dirinya, dan sampul untuk Seri.

Semoga usaha murni ini akan berterusan di hari raya seterusnya. Amin.

Proud Mummy.